#HariWanita2021 disambut pada tanggal 8 Mac untuk memberi pengiktirafan khas kepada kaum wanita dalam pelbagai bidang. Selain itu, tarikh ini juga memberi pendedahan, maklumat dan pengetahuan agar wanita mempunyai daya saing untuk mencapai perkongsian saksama lelaki dan wanita. Ia juga sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan wanita sebagai penggerak utama kemajuan negara, pembangunan institusi kekeluargaan dan pengukuhan masyarakat penyayang.
Kekuatan kita adalah apabila kita melangkah bersama, Wanita Waja Negara!
Tema Hari Wanita tahun ini dipilih oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi mengangkat semangat juang wanita yang tidak mengenal lelah dalam mengharungi cabaran kehidupan. Sifat kelembutan yang ada pada wanita bukanlah satu halangan untuk terus mara ke hadapan malah di sebalik kelembutan itu tersimpan kekuatan yang utuh dan bersemangat waja lebih-lebih lagi dalam situasi hari ini. Tema kali ini sangat berkait rapat dengan keadaan semasa. Meskipun dunia dilanda pandemik Covid-19, segala jerih perih yang kita lalui sedikit sebanyak mendidik kita untuk tetap bangkit mendepani cabaran.
Hari ini, wanita bukan hanya menjadi suri rumahtangga, bahkan sumbangan mereka kepada pembangunan bangsa dan negara baik dari aspek ekonomi, kesihatan dan sosial tidak dapat dinafikan lagi. Tunggak utama kepada generasi muda yang lebih cemerlang di masa hadapan adalah melalui pendidikan awal dari rumah. Oleh itu, walaupun ramai wanita sudah bekerjaya, mereka masih lagi memikul tanggungjawab untuk memberikan pendidikan awal kepada anak-anak. Tugas mereka tidak terhenti selepas waktu pejabat, bahkan beralih pula kepada pengurusan rumahtangga.
Zahirkan tanda sokongan anda sebagai penghargaan kepada para wanita – ibu, isteri, anak dan semua kaum hawa di seluruh dunia!
“The strength of a woman can carry the weight of the world. Keep smiling and stay strong”
Kommentarer